BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 22, 2009

Marhaban Ya Ramdhan

Sekali lagi Ramadhan hadir dalam hidup kita. Satu bulan yang dianugerahkan padanya seribu satu kerahmatan, Bulan keampunan daripadaNya, bulan yang digandakan amalan sunat seperti amalan fardhu dan amalan fardhu sehingga 70 kali ganda dan lebih daripada itu. Inilah bulan kesabaran, bulan mujahadah jiwa yang tentunya syurga balasan bagi hamba-hambaNya yang berjaya, bulan yang dibukakan pintu-pintu raudhah syurga seluas-luasnya, ditutup serapat-rapatnya jahannam dan sudah pasti bab al-Rayyan terbuka luas untuk insan yang berpuasa dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Inilah juga bulan yang padanya terdapat satu malam yang dipanggil al-Qadar yang sentiasa diidam-idamkan oleh para solehin yang sangat merindui Allah s.w.t.

Ramadhan datang dengan sinaran seperti sinaran pagi yang menerangi waktu dhuha. Kehadirannya membawa kerahmatan kepada seisi alam. Namun, berapa ramai manusia yang dapat mengecapi kemanisan Ramadhan. Bahkan hanya puluhan daripada berbilion hamba-habaNya yang menyedari dan menyambut kedatangan Ramadhan seperti generasi sahabat dan aulia’Nya. Betapa gembiranya mereka dengan kedatangan Ramadhan seperti menerima sebuah hadiah daripada sang kekasih, menangisi pemergian Ramadhan seperti hadiah daripada sang kekasih diambil kembali. Malam-malam Ramadhan dihiasi dengan ibadah dan munajat rindu kepada Yang Esa, siangnya pula berusaha sebaik mungkin memenuhi tuntutan Ramadhan, lisan yang tidak kering dengan dzikrullah sepanjang hari jauh sekali mencaci hamun, tangan yang semakin laju menghulurkan bantuan seperti lajunya angin taufan walaupun diri sendiri perit, mereka gagah dan bersemangat mengangkat senjata melawan musuh di kala seruan jihad memanggil sehingga melupakan lapar dan panas Ramadhan. Betapa manis dan hebatnya Ramadhan di sisi mereka kerana mereka yakin dengan janji Allah. Lapar dan letih mereka adalah untuk Allah, dan Allahlah yang akan membalasnya, Mereka inginkan dua kegembiraan yang dijanjikan kegembiraan berbuka dan lebih-lebih lagi apabila dijanjikan kegembiraan bertemu Ilahi.

Sedaya upaya, hiasilah ramadhan sebaik mungkin. Penuhi hari-hari mulia ramadhan dengan alunan bacaan al-Quran kerana di bulan inilah al-Quran diturunkan, dan di bulan inilah juga Rasulullah s.a.w. bertadarrus bersama jibril memperelokkan bacaannya. Bangkitkan semula semangat generasi sahabat menyambut kedatangan Ramadhan, semarakkan kembali suasana kegembiraan yang pernah dirasai oleh generasi tabi’in tatkala kehadiran bulan mulia ini. Nikmatilah Ramadhan kali ini, kerana mungkin inilah Ramadhan yang terakhir untuk kita.

0 comments: