BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, November 21, 2009

AHLULLAH Pencinta Al-Quran


Siapakah AhluLLah? Begitulah persoalan yang diajukan oleh para sahabat r.a untuk mendapat kepastian daripada Rasulullah saw apabila diberitahu bahawa Allah mempunyai ahli2Nya tersendiri di dunia. Kelihatan bersungguh generasi shbt ingin mengetahui golongan mulia ini..emm..apa tidaknya, spt kalimah BaituLLah yang disandarkan kepada dhat Allah yang maha agung yg melambangkan tempat yang paling mulia di atas muka bumi, begitu juga kalimah “AhluLLah” disandarkan kepada dhatNya maha Mulia semestinya memberi isyarat kepada hamba2Nya yang istimewa.

Riwayat yang sahih melalui jalur Anas bin Malik ra bahawa Nabi saw telah mengkhabarkan kepada sahabatnya mengenai golongan AhluLLah ini. Mereka adalah yang mencintai al-Quran al-Kareem. Mereka mendapat keistimewaan di sisi Allah di kalangan manusia2 lainnya. (mafhum hadith : riwayat Nasa’ie, Ibn Majah, dan Hakim)


Dalam kesibukan tipu daya dunia, di sana masih terdapat segelintir hamba2Nya yang menghidupkan hati2 mereka dengan suluhan petunjuk al-Quran. Kalam Allah dijadikan panduan menerajui kehidupan supaya sesuai dengan kehendak Pemiliknya. Mereka inilah yang dilabelkan sebagai AhluLLah. Gelaran ini khusus diberikan daripada Allah pemilik cakarewala kepada semua pencinta al-Quran. Mereka berkomunikasi dengan al-Quran seolah2 berkata2 dengan Allah. Setiap ayat difahami sebaiknya, tafsiran demi tafsiran dirujuk bagi mencari hikmah kalam Ilahi, tidak cukup daripada itu, dicuba untuk menghafaz seberapa banyak ayat suci supaya dapat menjadi temannya ketika tiada mushaf di tangan. Lebih hebat, kata2 Allah begitu terkesan dalam jiwa mereka dan terpukau apabila mendengar keindahan kalimah2 agung Allah Tabaraka wa Taala.

Ya Rabb, golongkan kami dikalangan ahli2 Mu..golongan yang asing tetapi terlalu istimewa!!!


WALLAHU'ALAM
Read more...

Thursday, November 19, 2009

SEMINAR ISU-ISU & CABARAN SEMASA AL-QURAN & SUNNAH

Tarikh : 8hb Dis 2009
Tempat : Balai Ilmu APIUM
Masa : 8.30 am-5.15 pm





Pembetulan pada lampiran 2: Prof Madya Dr. Raihanah Abdullah
(Pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang-undang APIUM)
Read more...

Tuesday, November 17, 2009

Berdoa Dengan Hanya Mengangkat Jari Telunjuk

Ganjil bukan apabila kita katakan bahawa mengangkat jari telunjuk adalah satu sunnah Baginda saw ketika berdoa kepada Allah swt. Hakikatnya begitulah, dan inilah yang diabaikan dan tidak disedari oleh sebahagian daripada kita. Sepanjang penemuan, di sana terdapat dua situasi yang ditunjukkan oleh Baginda saw iaitu ketika tasyahud dan khutbah. Di sini saya cuba ringkaskan sebaik mungkin.


Tasyahhud
Dalam sepotong riwayat daripada Ibn Umar ra menceritakan tasyahhud Baginda saw :


عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا جَلَسَ فِي الصَّلَاةِ وَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ وَرَفَعَ إِصْبَعَهُ الْيُمْنَى الَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ فَدَعَا بِهَا وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ الْيُسْرَى بَاسِطَهَا عَلَيْهَا



Maknanya : “Nabi SAW apabila duduk dalam solat Baginda meletakkan kedua tangannya di atas lutut, kemudian mengangkat jari telunjuk kanannya kemudian Baginda berdoa dengannya. Tangan kirinya pula dilepaskan di atas lutut. (Hadith sahih riwayat Muslim, Bab Sifat al-Julus fi al-Solah wa kaffaihi wada’a)

Khutbah
Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Muslim ketika mana ‘Ammarah bin Ruaibah melihat Basyar bin Marwan mengangkat tangannya berdoa ketika berada di atas mimbar :

عُمَارَةَ بْنِ رُؤَيْبَةَ قَالَ رَأَى بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ فَقَالَ قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ
لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ


Maksudnya : “ Allah akan memburukkan kedua tangan itu, Aku telah melihat Rasulullah saw tidak menambah dengan jari ini, lalu beliau menunjukkan jari telunjukknya.
(Hadith sahih riwayat Muslim, Bab Tahfif al-Solah wa al-Khutbah)
Walaupun di sana ada ulama yang mengisyaratkan bahawa hadith ini adalah ketika memberi peringatan terhadap hadirin supaya mendengar khutbah, namun saya lebih tertarik dengan pendapat al-Tibrizi bahawa yang tepat adalah ketika berdoa di dalam khutbah dan dikuatkan lagi dengan tambahan lafaz2 drpd riwayat Ahmad, Tirmidhi dan Baihaqi.(rujuk kepada kitab Misykah al-Masabih ma’a syarhihi mura’ah al-Mafatih karyya al-Tibrizi)

Ulasan
Menjadi sunnah Baginda saw hanya mengangkat jari telunjuknya yang mulia ketika untaian kalimah doa dilafazkan. Ketika tasyahhud memang menjadi perbuatan solat kita, cuma antara sedar atau tidak bahawa fungsinya memohon sesuatu daripada Allah Azza wa Jalla. Ingatkah kita dengan doa2 yang diajarkan oleh Baginda saw ketika tasyahhud bahkan sehingga ada riwayat yang mengatakan pintalah apa sahaja yang dihajati sebelum memberi salam. Dalam riwayat lain pula mengatakan bahawa di sanalah tempat yang paling mustajab berdoa (doa bukan di dlm bhs melayu lbih selamt hany di dlm hati krn msih dlm situasi solat). Kemudian ketika khutbah yang kebanyakan khatib2 kita mengabaikan sunnah mulia junjungan Nabi saw.

Alangkah indahnya amalan kalau kita tahu fungsinya, insyaAllah, kita akan merasai manisnya ibadah lebih2 lagi apabila ungkapan2 doa itu kita ungkapkan sambil mengangkat telunjuk dengan penuh pengharapan dan rendah diri ketika berada di hadapanNya. Sekadar perkongsian, pembaca boleh merujuk kembali kepada mana2 penulisan yang berkaiatan supaya ianya lebih jelas lebih2 lagi ketika tasyahhud yang mana di sana adanya amalan2 sunnah lain baik perbuatan atau lafaz2 yang ditunjukkan oleh Baginda saw . Wallahualam..moga semua beroleh manfaat.
Read more...

Thursday, November 12, 2009

Syurga Untuk Yang Berjiwa Burung


Semestinya syurga menjadi tempat idaman setiap manusia siapa pun mereka, namun hakikat yang perlu diterima, tempat yang istimewa hanya untuk hamba2 yang istimewa. Alangkah beruntungnya kita apabila tersenarai di kalangan hamba2 Allah yang istimewa, dan itulah yang sentiasa kita harapkan.

Terasa unik apabila mendapati satu perumpamaan yang digunakan oleh Baginda saw menceritakan sifat bakal penduduk syurga iaitu hati mereka seperti jiwa sang burung. Melalui jalur Abu Hurairah ra Baginda saw bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ أَقْوَامٌ أَفْئِدَتُهُمْ مِثْلُ أَفْئِدَةِ الطَّيْرِ


Dari Abu Hurairah dari Nabi Muhammad saw bersabda : “akan masuk syurga kaum2 yang jiwa mereka seperti jiwa2 burung”
(Hadith sahih riwayat Muslim, bab masuk syurga kaum2 yang berjiwa seperti jiwa burung

Saya tertanya2 knp jiwa bakal penduduk syurga disamakan oleh Rasulullah saw seperti jiwa sang burung. Kebiasaannya setiap haiwan yang disebut oleh Allah dan Rasulnya baik dalam quran atau hadith mempunyai keistimewaan yang tersendiri.Emm..apa yang ada pada diri seekor burung nie?? Saya menjumpai kebanyakan ilmuan islam antaranya Imam al-Nawawi, al-Suyuti, Ibn al-Jauzi, dan abd al-Rauf al-Munawi ketika membahaskan hadith ini menyifatkan burung mempunyai jiwa yang lembut dan sangat jernih.

Emm..Saya memandang ke langit, melihat burung bebas berterbangan, seronok gaya mereka, bersiul-siulan, riang dan gembira, mereka langsung tidak menghiraukan dunia. Ada juga yang berkicauan merdu sambil bermain2 air ditepian sungai, sekali sekala membenamkan sebahagian badan ke dasar sungai menyegarkan tubuhnya yang kecil. Emm..gayanya cukup tenang dan sangat meriangkan..mungkin inilah natijahnya daripada kehalusan dan kejernihan jiwa mereka.

Dalam ketenangan hidup sang burung, kelihatan juga haiwan ini begitu berwaspada dalam menyusun langkah, sesuai dengan ciri2nya sebagai haiwan kecil yang sering dijadikan mangsa. Kewaspadaannya sangat nampak apabila berhadapan dengan pemangsa.Dari udara mereka sudah mula memerhati keadaan sekelilingnya sebelum mendarat untuk memastikan benar2 tempat tersebut selamat daripada ancaman.

Mungkin begitulah kehidupan bakal penduduk syurga, jiwa dan naluri yang sangat lembut dan jernih. Hati yang bersih dan jernih seperti jiwa sang burung menyebabkan mereka mudah menangis apabila diberitakan kedahsyatan api neraka. Melonjak riang mendengar khabar gembira keindahan syurga. Relong hatinya mudah tersentuh tatkala bersimpuh munajat di hadapan Allah, dengan penuh tawadhu’ dan khudu’ mereka memohon maghfirah dariNya. Mereka damai dengan perintah dan arahan Allah. Sentiasa berwaspada dengan tipu daya dunia dan sangat risau kalau2 dunia mempengaruhi jiwa ’ubudiah kepada Pencipta. Saya melihat inilah menifestasi daripada sifat taqwa seorang mu’min mengharungi kehidupan dunia yang penuh cabaran.

Barangkali inilah maksud daripada hadith ini. Wallahulam, saya serahkan kepada Allah dan RasulNya. Moga hati manusia seperti jiwa sang burung yang sudah pasti menjadi rebutan pintu2 syurga..
Wallahulam
Read more...

Tuesday, November 10, 2009

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rah.

Biografi Ibn Qayyim al-Jauziah

Nama penuh beliau ialah Syams al-Din Abu ‘Abd Allah bin Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id bin Hariz al-Zar‘i al-Dimasyqi . Al-Zar’i adalah nisbah kepada sebuah perkampungan di dareah Hauran yang bernama Zar’, yang mana sekarang dipanggil sebagai perkampungan Azra’. Beliau sangat terkenal dengan panggilan Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Iaitu nisbah kepada sebuah sekolah yang dibangunkan oleh Muhyiddin Abu al-Mahasin Yusof bin ‘Abd Rahman bin ‘Ali bin al-Jauzi dan ayahnya adalah salah seorang yang membangunkan (Qayyim) sekolah itu.

Beliau dilahirkan pada 7 Safar 691 H bersamaan 20 Januari 1292 M di Kampung al-Zar‘i, Damsyiq, Syria. Dan telah meninggal dunia pada 13 Rejab tahun 751 H pada waktu isyak ketika umurnya menjangkau 60 tahun.


Kehidupan Ibn Qayyim al-Jauziyyah

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dilahirkan setahun selepas kemenangan muslimin ke atas tentera salib. Selama tempoh 2 kurun lamanya, peperangan sengit berlaku antara muslimin dan tentera salib. Keadaan yang begitu mendesak sehingga tentera salib terpaksa meminta bantuan daripada Eropah untuk membantu mereka mengalahkan tentera muslimin. Namun, dengan pertolongan daripada Allah s.w.t. kemenangan telah berpihak kepada tentera muslimin

Walaupun umat islam baru menyusun tapak membina semula ketamadunan setelah mengalami peperangan yang dahsyat, tetapi mereka tidak melupakan ilmu pengetahuan, bahkan Imam Ibn Kathir (m. 774 H) mencatatkan bahawa Ibn Qayyim hidup dalam suasana keilmuan dan dibesarkan oleh bapa yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Ketika itu, kemunculan pusat pengajiian ilmu begitu memberansangkan. Para ulama memainkan peranan yang besar dalam menyebarkan pelbagai disiplin ilmu di pusat-pusat pengajian yang ditubuhkan dan dalam masa yang penghasilan karya-karya tidak dilupakan sehinggakan ketika itu menyaksikan perkembangan karya yang begitu memberansangkan.


Guru-gurunya


Ayahnya yang mahir dalam ilmu hisab dan Faraid merupakan gurunya yang pertama yang mengajar ilmu hisab dan Faraid. Setelah beliau selesai belajar dengan bapanya, beliau kemudiannya di hantar berguru dengan ulama’-ulama’ lain di zamannya. Sehinggalah beliau dapat menguasai pelbagi disiplin ilmu dengan kefahaman yang benar. Boleh mentarjihkan yang benar dan yang salah. Beliau sangat mencintai ilmu pengetahuan, beliau mengumpul kitab-kitab, membaca, menghafal, dengan penuh ketekunan.

Beliau mempelajari ilmu hadith daripada al-Syihab al-Nablusi al-‘Abir, al-Qhadi Taqi al-Din Sulaiman, Abu Bakar bin Abd al-Daim, Ismail bin Maktum, Fatimah binti Jauhar dan ramai lagi yang hidup pada peringkat mereka.

Selain itu, beliau turut mempelajari Bahasa Arab dengan berguru kepada al-Majd al-Tunisi ( m. 718 H ), dan Abi al-Fath al-Ba’li( m. 709 H ). Dalam bidang Usul al-Din dan Usul al-Fiqh pula, beliau berguru kepada al-Saffy al-Hindi. dan berguru juga dengan Ibn Taymiyyah (m. 728 H )dalam bidang fiqh dan Fara’id.
Kebanyakan guru-gurunya, Ibn Taymiyyah adalah seorang yang sangat memberi kesan dalam kehidupan Ibn Qayyim, sehinggakan beliau pernah dipenjara bersama gurunya ini disebabkan mempertahankan pendirian gurunya.

Murid-muridnya

Ibn Qayyim berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh terkenal dalam pelbagai bidang. Antara yang dapat penulis bariskan di sini adalah :

i) Ibn Kathir. Nama penuh beliau ialah ‘Imad al-Din Isma‘il bin ‘Umar bin Kathir bin Zar‘i al-Basri al-Dimasyqi. Terkenal sebagai pengarang kitab Tafsir al-Qur’an al-Azim dan kitab sejarah al-Bidayah wa al-Nihayah
ii) Ibn Rajab al-Hanbali. Nama penuh beliau ialah Zayn al-Din Abu al-Farj ‘Abd al-Rahman bin Syihab al-Din Ahmad al-Baghdadi. Terkenal sebagai pengarang kitab al-Dhayl ‘ala Tabaqat al-Hanabilah dan kitab syarah Sahih Bukhari iaitu Fath al-Bari.
iii) Al-Fayruzabadi. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Ya‘qub bin Muhammad Muhy al-Din Abu Tahir al-Fayruzabadi al-Syafi‘i.
iv) Al-Muqari. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr al-Quraisyi al-Muqari al-Tilmathani.
v) Al-Ghazi. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Muhammad bi al-Khidr al-Ghazi al-Syafi' i.
vi) Syamsuddin Muhammad bin ‘Abd al-Qadir al-Nablisi, penulis kitab Mukhtasar Tabaqat al-Hanabilah oleh Abi Ya’la.


Mazhab


Ibn Qayyim adalah bermazhab Hanbali, namun apa yang perlu ditekankan di sini adalah beliau seorang yang tidak taksub dengan mazhab. Baginya, dia akan berjalan di atas kebenaran dan tidak akan melihat kepada individu. Selain itu, kita dapat melihat bagaimana Imam Ibn Qayyim sentiasa mengajak masyarakat supaya bebas dan tidak jumud dalam berfikir. Memerangi taklid buta

Karya Ibn Qayyim al-Jauziah

Karya-karya ibn Qayyim begitu banyak sehinggakan al-Zirikli menyebut di sana terdapat sebanyak 32 buah kitab. Bahkan al-Ghumari menyebut terdapat sebanyak 29 buah karya yang diterbitkan dan masih terdapat sebanyak 35 manuskrip-manuskrip yang tidak di tahqiq dan diterbitkan. Di sini penulis hanya menyebut beberapa sahaja karya beliau yang terkenal.

i) Miftah Dar al-Sa‘adah wa Mansyur Wilayah al-‘Ilm wa al-Iradah. Ia merupakan kitab yang membincangkan tentang ilmu aqidah.
ii) Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad. Ia merupakan kitab yang membincangkan tentang ilmu hadith.
iii) Madarik al-Salikin. Ia merupakan kitab yang membincangkan tentang ilmu tasawwuf.
iv) Jala’ al-Afham fi al-Salah wa al-Salam ‘ala Khayr al-Anam. Ia merupakan kitab yang membincangkan kaedah berselawat dan hukum-hakam yang berkaitan tentang bacaan di dalam selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
v) Ijtima’ al-Juyush al-Islamiyah ‘ala Ghuzwah al-Firqah al-Jahmiah.
vi) Bada’i al-Fawaid.
vii) Tuhfah al-Maudud fi Ahkam al-Maulud
viii) Al-Ruh

Pujian Ulama

Karya al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir (m. 774 H) dalam intonasi yang menarik memberi pujian kepada Ibn Qayyim dengan katanya :
“Ibn Qayyim adalah seorang ulama yang menguasai pelbagai disiplin ilmu pengetahuan, termasuklah dalam ilmu Tafsir, Hadith dan Usul. Beliau mempunyai ramai murid-murid yang tidak jemu-jemu datang kepadanya malam ataupun siang, akhlaknya tersangat mulia, tidak pernah menyakiti orang lain, dan aku tidak pernah tahu orang yang alim yang paling kuat beribadah kecuali Ibn Qayyim.”

Ibn Rejab (m.796 H) sebagai salah seorang muridnya berkata :
“Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah adalah seorang yang kuat beribadah, tahajjud dan memanjangkan munajatnya bagi mencapai tujuan cinta ilahi. Aku tidak pernah lihat seorang pun sepertinya. Aku juga tidak nampak orang lain yang lebih luas ilmu daripadnya, tidak ada seorang pun yang dapat menandingi pengetahuannya mengenai ilmu al-Quran, al-Sunnah dan hakikat iman. Dia bukanlah maksum, tetapi seolah-olah aku lihat dia seoarng yang maksum.”

Al-Suyuti (m. 911 H) turut menukilkan pujiannya terhadap Ibn Qayyim, kata beliau :
“Beliau adalah seorang ulama besar dalam tafsir, hadith, ilmu furu’ dan usul serta bahasa arab.”

Kata Qadhi al-Qudhah ‘Abd al-Rahman al-Tafhani al-Hanafi :

“Murid kepada Ibn Taymiyyah ini (Ibn Qayyim) karya-karyanya telah menerangi serata alam.”
Read more...

Imam Abu Hajjaj al-Mizzi rah.

Abu Hajjaj al-Mizzi

Nama penuh beliau Abu al-Hajjaj Yusof ibn al-Zaki ‘Abd. Rahman b. Yusuf bin ‘Abd Malik al-Quda’i al-Kalbi al-Dimasshqi. Walaupun begitu beliau lebih dikenali dengan gelaran al-Mizzi. Gelaran ini disandarkan kepada kampung halamannya yang bernama al-Mizzah iaitu sebuah perkampungan besar yang terletak di tengah-tengah Taman Damsyiq. Beliau telah dilahirkan di luar bandar Halab pada tanggal malam 10 Rabi’ al-akhir pada tahun 654 hijrah .


Pendidikan

Menjadi tradisi ilmuan silam memulakan pendidikan mereka dengan menghafaz al-Quran, dan tradisi mulia ini turut disambung oleh Abu Hajjaj al-Mizzi. Beliau memulakan menghafaz dan mendalami ilmu al-Quran sejak kecil lagi , selain itu turut mempelajari ilmu bahasa dan tasrif.

Pengajian hadith bermula ketika beliau berusia 21 tahun, walaupun agak lewat, namun kesungguhannya menggali mutiara ilmu, menjadikannya seorang yang sangat pakar terutamanya dalam bidang ini. Permulaan pengajiannya adalah daripada kitab al-Hilyah oleh salah seorang gurunya iaitu Ahmad ibn Abu al-Khair salamah b. Ibrahim al-Dimashqi (m 678 H) pada tahun 675 H. Disamping itu, beliau turut belajar musnad Ahmad, kutub al-Sittah, mu’jam al-Tabarani, al-Ajza’, al-Tabarzadiah dan al-Kindiah. Mempelajari juga sahih muslim daripada al-Aqasim b. Abu Bakar b. Ghanimah al-Irbili.

Kembara ilmiah

Kecintaan yang begitu mendalam terrhadap ilmu pengetahuan mendesak beliau untuk mengembara ke seluruh pelusuk negeri. Antara negara-negara yang telah dijejaki dalam pencarian ilmu pengetahuan adalah Mesir, Iskandariah, Halab, Hamah, Hims, Ba’labak, Nablus dan banyak lagi.

Pengembaraannya diteruskan sehinggalah sampai ke Mekah dan Madinah. Sepanjang berada di Mekah dan Madinah, beliau telah menemui beberapa orang guru yang mashyur seperti al-‘Izz ‘Abd. ‘Aziz al-Harawi, Abu Bakar al-Anmati, dan Ghazi al-Halawi. Pertemuan dengan manusia hebat ini digunakan sebaiknya untuk mendalami ilmu pengetahuan.

Guru-gurunya

Pengembaraan ilmiah dimanfaatkan sebaiknya, pertemuan beliau dengan guru-gurunya dicatatkan seperti berikut :

1) Ahmad b. Abu al-Khair Salamh b. Ibrahim al-Dimashqi
2) Al-Aqasim b. Abu Bakar b. Ghanimah al-Irbili
4) Ibn Syaiban
6) Al-Syeikh Syams al-Din Ibn Abu Umar
7) Fakhr al-Din al-Bukhari
8) Ibn ‘Allan
9) Abu Bakr al-Anmati


Murid-murid


Abu Hajjaj al-Mizzi telah menjadi tumpuan masyarakat ketika itu, terutamanya mereka yang ingin mendalami disiplin ilmu hadith. Beliau telah melahirkan ramai murid-murid yang sangat berpengaruh, dan kebanyakannya terdiri daripada teman-temannya sendiri. Antaranya adalah :

1) Ibn Taymiyyah al-Harrani (728H)
2) Syamsuddin al-Dhahabi (748 H)
3) Taqi al-Din al-Subki (756 H)
4) ‘Alam al-Din al-Birzali (739 H)
6) Imad al-Din Ibn Kathir (774 H)
7) al-Dimasyqi
8) Sayyid al-Nas al-Ya’mari (m. 734 H)

Pandangan Ulama terhadap beliau

Imam al-Dimasyqi menukilkan pujian salah seorang murid Abu Hajjaj al-Mizzi iaitu ‘Alam al-Din :
“Beliau seorang yang sangat kuat membaca, seorang yang terkenal dengan ilmu bahasa. Baik hati, lemah lembut dan tawadhu’. Beliau adalah seorang Imam hadith, alim terhadap nama-nama rijal dan nasabnya, sangat mengetahui sejarah dan masyarakat sentiasa menjadikannya sebagai rujukan.”

Al-Dhahabi pula memuji Abu Hajjaj dengan kata-katanya :

“Beliau adalah seorang yang terpercaya, seorang yang tinggi ilmunya, baik akhlaknya, pendiam, lemah lembut, sangat merendah diri, banyak menghabiskan masa dengan masyarakat..”

Salah seorang muridnya iaitu Imam Fath al-Din Abu al-Fath bin Sayyid al-Nas al-Ya’mari memuji Al-Mizzi :
“ Aku telah menemui seorang yang sangat pakar dalam ilmu ini (hadith) di Damsyiq. Beliau adalah Imam al-Mizzi. Luas ilmu pengetahuannya sehinggakan beliau mengetahui setiap perawi baik di kalangan arab ataupun bukan, orang mesir ataupun luar, sangat berpegang dengan peninggalan para salaf al-soleh, bersungguh-sungguh mempertahankan kemurnian sunnah..”


Kematian Abu Hajjaj al-Mizzi

Al-Hafiz Abu Hajjaj al-Mizzi dipanggil ilahi pada hari sabtu 12 safar 742 H ketika usianya menjangkau 88 tahun. Imam Ibn Kathir menceritakan saat-saat kematian seorang Imam ulung ini dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah :
”Beberapa hari sebelum bapa mertuanya Abu Hajjaj al-Mizzi pergi dijemput ilahi, beliau masih lagi aktif bertemu masyarakat dan memperdengarkan hadith. Sehinggalah pada hari jumaat, 11 safar setelah memperdengarkan hadith kepada masyarakat, beliau masuk kerumahnya untuk berwudhuk bagi menunaikan solat jumaat. Namun ketika itu perutnya mengalami kesakitan yang teramat sangat dan kami menyangka kesakitan itu kerana taun. Keadaan yang sangat lemah itu menyebabkan beliau tidak mampu untuk hadir menunaikan solat jumaat pada hari itu. Setelah selesai daripada solat aku (Ibn Kathir) pergi menemuinya dari bertanya akan keadaannya, lalu beliau mengulangi ucapan tahmid berulang kali. Kemudian beliau memberitahu akan keadaannya yang uzur.

Kesakitannya berlarutan sehinggalah waktu zuhur keesokannya (sabtu). Dalam keadaan tenat itu, beliau gagahkan diri bertayammum dan terus menunaikan solat zuhur dalam keadaan mengiring. Dalam solatnya beliau membaca ayat kursi belum sempat menghabiskan ayat tersebut ruhnya diambil oleh Allah.

Keesokannya (ahad) barulah jasadnya disembahyangkan di masjid al-Umawyy, Saat kematian ulama agung ini menyaksikan kehadiran para Qudhat, pembesar-pembesar negara, dan seluruh masyarakat. Jenazahnya telah disembahyang dan diimami oleh muridnya iaitu Taqi al-Din al-Subki, kemudian jasadnya dikebumikan di perkuburan al-Sufiah, bersebelahan dengan kubur isterinya dan berhampiran dengan kubur Imam Ibn Taymiyyah.
Read more...