BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, June 21, 2011

Menderma Ketika Khatib Berkhutbah

Fenomena di Malaysia

Fenomena meluncurkan tabung masjid pada hari Jumaat ketika khatib sedang berkhutbah adalah tidak asing bagi semua Muslimin di Malaysia. Apabila khatib mula melangkah menaiki tangga mimbar, maka aktiviti tolak menolak tabung masjid akan bermula. Kebiasaannya tabung akan digerakkan bermula daripada penjuru tepi di bahagian hadapan sehinggalah habis satu masjid berpusing menagih derma daripada jemaah. Lebih menyedihkan lagi apabila ada di kalangan jemaah kita yang sangat “prihatin” terhadap pergerakan tabung ini.

Lancar ataupun tidak, duit biru atau merah yang dimasukkan ke dalamnya. satu persatu dilihatnya, dan langsung tidak mengindahkan isi kandungan khutbah yang disampaikan.

Menderma ketika Khatib

Menderma adalah sesuatu perbuatan yang baik, bahkan digalakkan dalam Islam. Sekalipun seorang Muslim menderma dengan kuantiti yang sedikit, namun ia tetap dikira sebagai amalan soleh yang akan membantunya di akhirat kelak. Namun begitu, tidak semua situasi amalan ini digalakkan. Contoh yang paling dekat adalah ketika khatib membaca khutbah pada hari Jumaat. Amalan ini tidak digalakkan, bahkan dibimbangi termasuk dalam perbuatan yang sia-sia . Benar, secara umumnya menderma adalah baik, namun situasi ketika itu tidak sesuai. Ini kerana, di sana terdapat nas yang melarang daripada melakukan sesuatu yang boleh mengganggu konsentrasi daripada mendengar isi kandungan khutbah.

Baginda s.a.w. mengingatkan:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “…Siapa yang menyentuh (bermain-main) batu, maka dia telah melakukan sesuatu yang sia-sia.” (Riwayat Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, Tirmidhi, dll)

Hadith di atas menunjukkan bahawa melakukan sesuatu yang sia-sia seperti bermain batu adalah perkara yang ditegah ketika mendengar khutbah. Namun begitu, ada yang mempersoalkan bahawa itu sekiranya melakukan sesuatu yang tidak berfaedah seperti bermain batu. Namun, menderma adalah sesuatu kebajikan, bahkan digalakkan dalam Islam dan mempunyai manfaatnya kepada umat. Sudah pasti ia dibenarkan. Meneliti kembali kepada nas yang lain, masih terdapat larangan lain daripada Rasulullah s.a.w. melakukan perkara yang bersifat kebajikan iaitu antaranya adalah menegur sesama Muslim. Sebagaimana Baginda s.a.w. mengingatkan kepada umatnya:


إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ . وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu berkata kepada sahabat mu pada hari Jumaat, Senyap. Sedangkan ketika itu Imam sedang membaca khutbah, maka sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang sia-sia.” (Riwayat al-Bukhari)

Secara umumnya, menegur saudara sendiri apabila mereka melakukan kesilapan adalah sesuatu yang sangat dituntut. Namun amalan ini tidak sepatutnya diamalkan ketika Khatib membaca khutbah. Bahkan dimasukkan oleh Baginda s.a.w. sebagai mereka yang lagha (melakukan sesuatu yang sia-sia).

Mencari Inisiatif lain

Para Imam dan AJK-AJK masjid perlu mengambil berat akan amalan ini. Di bimbangi tradisi ini termasuk dalam kategori perbuatan yang lagha (melakukan sesuatu yang sia-sia) sebagaimana hadith-hadith di atas. Baik jemaah yang menolak tabung ataupun mereka yang menderma. Tidak salah menyediakan tabung, namun biarlah bersesuaian dengan situasi dan keadaan. Letaklah di pintu-pintu masjid sahaja atau bagaimana sekalipun, dengan syarat tidak mengganggu konsentrasi jemaah ketika khatib membaca khutbah.

Wallahu’alam. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus tetap di atas jalanNya. Wallahul Musta’an.

0 comments: