BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, July 11, 2011

Melazimi Diri Puasa Syaaban

Puasa pada Syaaban

Apabila memasuki bulan Syaaban, kita mencari-cari adakah di sana terdapat amalan-amalan sunah yang dianjurkan oleh Baginda s.a.w. kepada umatnya. Diteliti apa yang dikumpulkan oleh para Imam daripada amalan Baginda s.a.w., didapati bahawa salah satu petunjuk Baginda s.a.w. pada bulan Syaaban adalah melazimi dirinya dengan berpuasa. Bahkan, diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w banyak berpuasa pada bulan Syaaban, berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Petunjuk Rasulullah s.a.w.

‘Aishah r.a. menceritakan keadaan puasa Baginda s.a.w. ketika Syaaban:

عَنْ أَبِي سَلَمَة أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Maksudnya: Dari Abu Salamah sesungguhnya Aishah r.a. menceritakan padanya bahawa Nabi s.a.w. berpuasa sebulan lebih banyak daripada sya’ban, sesungguhnya Baginda s.a.w. berpuasa pada bulan sya’ban keseluruhannya dan Baginda bersabda: Buatlah amalan apa yang termampu, sesungguhnya Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu jemu, dan aku suka berselawat kepada Nabi s.a.w. secara berterusan walaupun sedikit, dan beliau apabila berselawat akan berterusan. (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat di atas, ‘Aishah r.a. menceritakan bahawa Bagida s.a.w. berpuasa keseluruhan pada bulan Syaaban. Namun begitu, kalimah “Keseluruhan” (Kullu) yang dimaksudkan oleh Saidatina ‘Aishah r.a. dalam riwayat ini adalah bermaksud kebanyakan hari di bulan Syaaban, dan bukanlah keseluruhan hari di bulan Syaaban. Inilah yang disebut oleh Ibn Battal ketika mensyarahkan riwayat ini. Dikuatkan lagi dengan riwayat lain yang menjelaskan mengenai perkara yang sama iaitu, antaranya daripada Ibn ‘Abbas menceritakan:

Baginda s.a.w. tidak pernah berpuasa sebulan penuh pun melainkan bulan Ramadhan, Baginda s.a.w. berpuasa sehingga orang berkata demi Allah, Baginda s.a.w. tidak akan berbuka, dan apabila beliau berbuka, sehingga orang berkata demi Allah, Baginda s.a.w. tidak akan berpuasa. (Riwayat Bukhari)

Justeru, riwayat-riwayat di atas menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. banyak berpuasa pada bulan Syaaban, namun bukanlah bermaksud berpuasa sebulan penuh. Perlu juga diingatkan juga bahawa tiada hari khusus yang ditetapkan untuk berpuasa kerana amalan ini adalah sebahagian daripada amalan-amalan sunat yang tidak terikat dengan har-hari tertentu, dan ditunaikannya mengikut kemampuan seseorang di bulan tersebut.


Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada kita menelusuri sunnah junjungan mulia ini. Wallah al-Musta’an.

Wallahualam
Read more...

Wednesday, July 6, 2011

Sampaikanlah Dariku Walaupun Sepotong Kalimah


بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً


Terjemahan: "Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat."

Hadis di atas merupakan ingatan daripada Baginda s.a.w. kepada umatnya supaya menyampaikan apa sahaja daripada Baginda s.a.w. yang diketahui kepada masyarakat. Mereka yang diberi kelebihan oleh Penciptanya dengan sedikit ilmu pengetahuan yang bermanfaat, diminta berkongsi kemanisan itu dengan saudaranya yang lain. Walaupun hanya sepatah perkataan, namun sekiranya dilihat mampu memberi kebahagian kepada seseorang, sebarkanlah. Betapa indahnya persaudaraan dalam Islam, perasaan individualistik dan egois dikikis daripada hati umatnya bagi menjamin kebaikan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.

Faedah daripada Nas

Hadis yang dibincangkan di atas telah dituturkan oleh Baginda s.a.w. dalam redaksi yang agak panjang dan saling memerlukan antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w. bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِىَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ « بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً ، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِى إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار »


Terjemahan: Daripada ‘Abd Allah bin ‘Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil (sesuatu) daripada Bani Israel, (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas nama ku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Tirmidhi, Ahmad dan Ibn Hibban)

Antara faedah-faedah yang boleh dipetik daripada hadis ini:

1)Rasulullah s.a.w. mengingatkan kepada seluruh umatnya supaya sentiasa
menyampaikan ilmu yang dimiliki kepada saudaranya yang lain, walaupun hanya
sepotong ayat.

2)Berusahalah menyampaikan apa jua kebaikan kepada masyarakat, kerana ganjarannya
begitu besar seperti yang disebut oleh Baginda s.a.w. dalam sepotong hadis riwayat
Bukhari : “Demi Allah, sekiranya seorang lelaki
memperoleh hidayah (daripada Allah)kerana (usaha) kamu, itu lebih baik untuk mu
daripada nilai unta merah (sesuatu yang sangat berharga)
.”

3)Kalimah ‘Anni (dari ku) menunjukkan bahawa ilmu yang benar adalah sesuatu yang
datangnya daripada Rasulullah s.a.w. Daripada Rasulullah s.a.w. samalah juga
daripada Allah s.w.t. kerana tutur kata Baginda s.a.w. adalah wahyu daripadaNya.

4)Ancaman keras daripada Rasulullah s.a.w. kepada mereka yang menyampaikan sesuatu
tetapi mendustai nya, atau dalam erti kata lain, menyandarkan sesuatu itu daripada
Rasulullah s.a.w. sedangkan Baginda s.a.w. langsung tidak pernah bersabda mengenai
perkara itu. Takutlah dengan ancaman keras ini !!!

5)Sepatah perkataan yang keluar berlandaskan ilmu adalah lebih baik daripada omongan
panjang tetapi kosong daripada hidayah. Berhati-hatilah ketika berbicara, kerana
satu patah perkataan yang keluar akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Jalla
wa ‘Ala.


Wallahu ‘Alam.
Read more...