BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, December 27, 2011

Pesanan Rasulullah saw



Rasulullah saw berpesan kepada umatnya:

مَنْ كَانَتِ الآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِى قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِىَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهَ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ


"Sesiapa yang menjadikan AKHIRAT sebagai cita-citanya, Allah akan jadikan KEKAYAAN berada di dalam hatinya, dan mengumpulkan (menyusun) urusannya, dan dunia itu datang kepadanya dalam keadaan hina. Sesiapa yang menjadikan DUNIA sebagai cita-citanya, Allah akan jadikan kefakiran berada di antara kedua-dua matanya, memecahbelahkan urusannya, dan dunia hanya akan datang kepadanya seperti yang ditetapkan." (HR. Tirmidhi, Ibn Majah, Ahmad, dll, disahihkan oleh al-Albani)

Pengajaran Hadith:

1) Pesanan Rasulullah saw kepada seluruh umatnya supaya meletakkan akhirat sebagai matlamat dalam kehidupan. Dunia hanyalah picisan-picisan kecil sebelum seorang melangkah ke alam akhirat. Tidak salah mencari dunia kerana manusia hidup di dunia, namun dunia yang dicari mestilah membahagiakan akhirat. Dalam bahasa mudah, RM 50 yang diperoleh daripada habuan dunia perlu diusahakan apa jua cara untuk membahagiakan akhirat kelak.

2) Hadis ini turut menunjukkan realiti kehidupan manusia di dunia. Apabila hati tertarik dengan dunia, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja deminya, sekalipun melutut, mengampu, bahkan menjadi hamba sesama manusia. Hati mereka sentiasa resah, gelisah memikirkan dunia. Zahirnya kelihatan kaya dan bergaya, tetapi hakikatnya hina di sisi Allah, dan manusia lain muak melihat mereka.

3) Kehidupan seorang Muslim akan mulia apabila meletakkan akhirat sebagai matlamat dan hanya Allah tempat pergantungan. Jiwanya kaya, dan kehormatannya terjaga. Setiap inci kehidupannya akan diatur oleh Allah swt, dan dunia tetap akan diperoleh sebagaimana yang ditetapkan. Alangkah indahnya kehidupan seorang hamba yang kaya jiwanya.

4) Setiap manusia telah tertulis rezekinya. Hanya kita diperlukan untuk berusaha memperolehnya. Ikan paus yang jumlahnya tidak terkira di lautan dalam dan memerlukan berbilion tan sehari makanan turut diberikan oleh Allah swt, inikan pula manusia yang diciptakan olehnya sebaik-baik kejadian.

Wallahu’alam.
Read more...

Tuesday, December 20, 2011

Pohonlah Keampunan, kerana Kita Ada Allah yang Maha Pengampun



Abu Hurayrah r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah saw telah bersabda:
Sesungguhnya seorang hamba telah melakukan dosa, lalu dia berdoa: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunkanlah aku. Lalu Allah berfirman: Hambaku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang akan mengampunkan dosa dan dia memohon keampunan dari Tuhannya. Kemudian diampunkan dosanya dan kemudian terus begitu.

Kemudian terjerumus melakukan dosa (lagi), maka dia berkata: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa sekali lagi, maka ampunkanlah daku. Lalu Allah berfirman: Hambaku mengetahui bahawa beliau mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa dan beliau memohon keampunan dari Tuhannya. Aku mengampunkan hambaku, kemudian beliau terus begitu.

Kemudian (sekali lagi) terjerumus dalam dosa, lalu dia berdoa Tuhanku, aku telah melakukan dosa (sekali lagi), maka ampunkanlah aku. Maka Allah berfirman: Hambaku telah mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa dan dia memohon keampunan dari Tuhannya.

Allah berfirman: “Aku mengampunkan dosa hambaKu tiga kali, maka lakukanlah apa yang mereka kehendaki.”

(HR. Bukhari dan lain-lain)


Faedah daripada hadith:

1) Hadith ini telah diriwayatkan oleh Bukhari dan lain-lain. Memberi isyarat
bahawa hadith di atas adalah hadith yang sahih. Dalam erti kata lain,
perkhabaran ini benar keluar daripada mulut Baginda saw dan pasti ia datang
daripada Allah swt.

2) Hadith ini turut menceritakan bahawa kehidupan seorang hamba ada kalanya
terlajak melakukan dosa. Namun, hamba yang baik adalah sentiasa memohon ampun
dari Tuhannya.

3) Hadith ini bukanlah satu galakan supaya terus menerus hidup dalam keadaan
melakukan dosa. Tetapi satu mesej daripada Rasulullah saw bahawa KITA
MEMPUNYAI ALLAH YANG MAHA PENGAMPUN. Selagi mana memohon keampunan daripada-
Nya, pasti diampunkan.

4) Kesemuanya bermula daripada diri sendiri. Sekiranya seorang insan berusaha
dan bersungguh-sungguh untuk mengejar keampunan Allah, pasti dia akan
menemuinya.

5) Jangan pernah merasakan tiada harapan untuk diampunkan dosa, sekalipun dosa
yang dilakukannya sebanyak buih di lautan. Bukanlah sesuatu yang susah bagi
Allah untuk mengampunkan dosa sesiapa yang dikehendakiNya. Lihatlah, seorang
pelacur yang hanya memberi minum seekor anjing turut dimasukkan ke dalam
syurga oleh Allah Azza wa Jalla.

Teruslah bermunajat memohon keampunan kerana KITA ADA TUHAN YANG MAHA PENGAMPUN.

Wallahu ‘alam bi al-Sawab
Read more...

Sunday, December 18, 2011

Umur dan Keletihan



Setiap manusia selayaknya meletakkan segala urusannya hanya untuk ALLAH s.w.t. hakikat ini sebenarnya telah disedari oleh kebanyakan manusia, namun kekuatan untuk berjalan menujunya terasa begitu sukar. Mungkin kerana mereka tidak jujur memperhambakan diri kepada-Nya atau mungkin juga mereka tidak berusaha mewujudkan perasaan itu di dalam hati mereka.

Hakikat yang perlu disedari oleh semua manusia, bagaimana sekalipun keadaan kita di dunia, tidak jujur kepada ALLAH ataupun tidak mahu berusaha menuju-Nya, kita pasti bertemu dengan-Nya. Detik-detik kehidupan yang kita lalui di dunia akan berakhir dan pasti akan dipersoalkan oleh ALLAH di hadapan mahkamah-Nya. Yakinlah, kebenaran ini pasti akan berlaku pada setiap jiwa.

Inilah kehidupan. Tidak ubah seperti seorang yang memasuki dewan peperiksaan. Apabila cukup masanya skrip jawapan tetap akan dikutip. Sekalipun masih ada soalan yang belum dijawab, ataupun jawapan yang diberikan adalah salah. Berjaya ataupun tidak, tunggu sahaja hari keputusan dikeluarkan.

Beruntunglah seorang hamba, apabila diberikan buku catatannya pada tangan kanannya, dan alangkah ruginya jika diterima pada tangan kirinya. Pada hari itu, wajah-wajah Mu’min bersinar kegembiraan menanti janji Rabbnya, manakala Fasik, Munafik dan Kafir hitam pekat wajah mereka, keluh kesah, menanti perbicaraan dan balasan daripada Rabbul Jalil.
Read more...