BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, December 27, 2011

Pesanan Rasulullah saw



Rasulullah saw berpesan kepada umatnya:

مَنْ كَانَتِ الآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِى قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِىَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهَ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ


"Sesiapa yang menjadikan AKHIRAT sebagai cita-citanya, Allah akan jadikan KEKAYAAN berada di dalam hatinya, dan mengumpulkan (menyusun) urusannya, dan dunia itu datang kepadanya dalam keadaan hina. Sesiapa yang menjadikan DUNIA sebagai cita-citanya, Allah akan jadikan kefakiran berada di antara kedua-dua matanya, memecahbelahkan urusannya, dan dunia hanya akan datang kepadanya seperti yang ditetapkan." (HR. Tirmidhi, Ibn Majah, Ahmad, dll, disahihkan oleh al-Albani)

Pengajaran Hadith:

1) Pesanan Rasulullah saw kepada seluruh umatnya supaya meletakkan akhirat sebagai matlamat dalam kehidupan. Dunia hanyalah picisan-picisan kecil sebelum seorang melangkah ke alam akhirat. Tidak salah mencari dunia kerana manusia hidup di dunia, namun dunia yang dicari mestilah membahagiakan akhirat. Dalam bahasa mudah, RM 50 yang diperoleh daripada habuan dunia perlu diusahakan apa jua cara untuk membahagiakan akhirat kelak.

2) Hadis ini turut menunjukkan realiti kehidupan manusia di dunia. Apabila hati tertarik dengan dunia, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja deminya, sekalipun melutut, mengampu, bahkan menjadi hamba sesama manusia. Hati mereka sentiasa resah, gelisah memikirkan dunia. Zahirnya kelihatan kaya dan bergaya, tetapi hakikatnya hina di sisi Allah, dan manusia lain muak melihat mereka.

3) Kehidupan seorang Muslim akan mulia apabila meletakkan akhirat sebagai matlamat dan hanya Allah tempat pergantungan. Jiwanya kaya, dan kehormatannya terjaga. Setiap inci kehidupannya akan diatur oleh Allah swt, dan dunia tetap akan diperoleh sebagaimana yang ditetapkan. Alangkah indahnya kehidupan seorang hamba yang kaya jiwanya.

4) Setiap manusia telah tertulis rezekinya. Hanya kita diperlukan untuk berusaha memperolehnya. Ikan paus yang jumlahnya tidak terkira di lautan dalam dan memerlukan berbilion tan sehari makanan turut diberikan oleh Allah swt, inikan pula manusia yang diciptakan olehnya sebaik-baik kejadian.

Wallahu’alam.

0 comments: