BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, October 26, 2009

Beramal Dengan Hadith Dhaif Dalam Kes Fadhail 'amal

Jumhur ulama telah bersepakat bahawa hadith dhaif tidak boleh digunakan dalam urusan agama yang melibatkan hukum-hakam. Namun, di sana timbul persoalan, adakah boleh beramal dengan hadith yang dhaif dalam kes targhib wa tarhib /fadhail ’amal (kelebihan amalan)? Perbahsan begini begitu penting dalam rangka memelihara kemurnian sunnah nubuwwah.

Sepanjang penelitian terhadap beberapa penulisan, di dapati di sana terdapat beberapa pendapat mengenai penggunaan hadith dhaif dalam kes targhib wa tarhib/Fadhail ’amal. Ringkasannya seperti ini :

1) Tidak bolek beramal secara mutlak. Antara yang berpendapat seperti ini adalah Imam Bukhari, Muslim, Ibn Hazm, dll
2) Boleh beramal dengan hadith dhaif antara yang berpendapat sedemikian adalah Imam Ahmad
3) Boleh beramal tetapi bersyarat. Inilah pendapat Ibn Hajar al-Asqalani antaranya.

Pendapat yang mengatakan bahawa boleh beramal kebanyakannya daripada ulama2 mutaakhirin (terdahulu). Sesuatu yang penting untuk dibincangkan di sini adalah pembahagian sahih, hasan dan dhaif wujud setelah diperkenalkan oleh Imam al-Tirmidhi (m. 279 H). Sebelum itu, pembahagiannya terbatas kepada sahih dan dhaif sahaja. Imam Ahmad (m. 241 H) yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif dalam fadhail ’amal adalah perlu ditafsir semula. Mungkin pendapat Imam Ahmad itu adalah hadith hasan yang terdapat sekarang dan bukannya dhaif.

Manakala ulama2 yang mengharuskan penggunaan hadith dhaif dalam fadhail ’amal dengan syarat memerlukan penilitian yang mendalam terhadap syarat2 yang dikenakannya. Seperti 3 syarat yang dikenakan oleh Ibn Hajar iaitu hadith tersebut bukanlah hadith yang terlalu lemah, berada dalam dasar umum (ada riwayat2 lain yang menyokong atau tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah yang sahih), dan tidak beriktiqad bahawa ianya datang daripada Rasulullah saw. Ketiga-tiga syarat ini apabila didalami, seolah-olah hadith tersebut telah menjadi hasan li ghai rih, dan bukan lagi dhaif.

Kesimpulannya :
Setelah kita melihat beberapa aspek penting terhadap pendapat2 ulama, lebih selamat kiranya mengambil pendapat2 yang menolak menggunakan hadith dhaif.
Sebagai seorang mukmin yang mencintai Rasulullah saw, target hidup kita seboleh mungkin ingin mengikuti setiap langkah kekasih Allah ini. Namun, hadith dhaif adalah riwayat yang masih diragui kesahihannya. Adakah benar daripada Rasulullah saw ataupun bukan. Walaupun dalam kes targhib wa tarhib kerana mana mungkin boleh kita katakan sesuatu yang langsung tidak pernah disabdakan oleh Baginda saw. Kalaulah begitu, ianya telah termasuk dalam golongan yang disediakan tempat duduknya di neraka. Selain itu, kenapa perlunya kita membezakan antara hukum hakam dan tarhib wa targhib? Sedangkan kedua2nya adalah sebahagian daripada agama. Kalaulah dalam isu hukum hakam kita sepakat tidak boleh gunakan hadith dhaif, kenapa tidak dalam kes targhih wa tarhib. Lagipun, hadith sahih dan hasan dalam kes ini masih banyak dan hanya kita yang tidak mencarinya. Itu lebih selamat daripada terjatuh dalam golongan yang mendustakan Rasulullah saw.Moga ALLAH selamatkan kita daripada kepanasan api neraka..
WaLLahualam.....
Read more...

Saturday, October 24, 2009

Terbalik Tangan Ketika Mohon Tolak Bala

Sudah menjadi satu tradisi masyarakat melayu terutamanya di Malaysia iaitu menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala. Di manakah sumber amalan ini??
Apabila diteliti, rupanya di sana terdapat satu riwayat yang menjelaskan keadaan ini :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِك أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاء

Maksudnya :
“Sesungguhnya Nabi SAW ketika “istisqa” (memohon hujan) menunjukkan belakang kedua tangannya ke arah langit”
(Hadith Sahih, Riwayat Muslim, bab mengangkat kedua tangan ketika berdoa sewaktu istisqa’)

Umumnya, hadith ini menjelaskan bahawa seorang sahabat yang menyaksikan keadaan itu iaitu Anas bin Malik menceritakan bagaimana keadaan Rasulullah saw berdoa ketika istisqa’(memohon hujan).

Setelah diteliti, beberapa pendapat ulama antaranya Imam al-Nawawi dan al-San’ani berpendapat bahawa sunnah menterbalikkan tangan ketika berdoa memohon dijauhkan bala bersandarkan dalil ini. (Lihat kepada Syarah Muslim oleh al-Nawawi dan Subul al-Salam oleh al-San’ani)

Walaupun begitu, ada juga ulama yang berpendapat sebaliknya, antaranya Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab. Mereka berpendapat bukan begitu apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik. Bagi mereka apa yang dimaksudkan oleh Anas bin Malik adalah Rasulullah mengangkat kedua tangannya terlalu tinggi sehinggakan belakang tangannya terhala ke arah langit. (Lihat kepada Fath al-Bari oleh Ibn Rejab dan al-Mustadrak ’ala Majmu’ al-Fatawa oleh Ibn Taymiyyah)

Mari sama-sama kita teliti, apakah maksud sebenar yang ingin di sampaikan oleh Anas bin Malik. Asas kita adalah hadith Anas bin Malik riwayat Muslim ini.

Ditinjau kepada dirayah al-hadith (fiqh hadith), di dapati kalimah yang digunakan oleh Anas bin Malik adalah (asyara ila) iaitu ’menunjukkan kepada’. Perkataan ’tunjuk’ beerti mengarahkan jari telunjuk kepada sesuatu perkara. Dalam konteks hadith ini, Rasulullah saw menunjukkan (mengangkat dengan tinggi) tangannya ke arah langit.

Ditinjau lagi kepada riwayat lain ada dilaporkan :

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى بْنُ حَمَّادٍ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ أَنَّ أَنَسًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حَدَّثَهُمْ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا
فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَإِنَّهُ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ

Maksudnya : “ Nabi SAW tidak mengangkat kedua tangannya ketika berdoa kecuali dalam istisqa’. Sesungguhnya Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kelihatan putih ketiaknya.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari, bab sifat Nabi saw)

Kesimpulan awal kita ketahui bahawa Rasulullah saw ketika istisqa’ berdoa dengan mengangkat tinggi tangan mulia Baginda saw ke arah langit sehingga menampakkan putih ketiaknya.

Tetapi adakah seperti yang ditafsirkan oleh Imam al-Nawawi (menterbalikkan tangan) ataupun seperti pendapat Ibn Rejab (mengangkat terlalu tinggi sehigga belakang tangan terarah ke langit)?

Diteliti dengan mendalam lagi, dijumpai pula di sana riwayat lain yang berkaitan doa, iaitu Rasulullah menyuruh kita berdoa menggunakan perut tangan dan bukanlah belakang tangan. Kita lihat riwayat ini :


حَدَّثَنَا أَبُو ظَبْيَةَ أَنَّ أَبَا بَحْرِيَّةَ السَّكُونِيَّ حَدَّثَهُ عَنْ مَالِكِ بْنِ يَسَارٍ السَّكُونِيِّ ثُمَّ الْعَوْفِيِّ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

Maksudnya : “Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa) maka mintalah dengan perut tangan kamu, dan jangan kamu meminta menggunakan belakang tangan” (Sunan Abu Dawud, bab al-Dua’, Al-Albani meletakkan hadith ini sebagai Hasan Sahih, lihat kepada Sahih wa al-Dhaif Sunan Abi Dawud)


Setelah meneliti riwayat yang berkaitan dan bahasa, kecenderungan untuk memilih pendapat Ibn Taymiyyah dan Ibn Rejab lebih kuat. Bahkan, Ibn Taymiyyah menyimpulkan bahawa riwayat yang melarang menggunakan belakang tangan ketika berdoa adalah penyelesaian kepada kes ini.

Kesimpulannya, tafsiran yang paling hampir terhadap perkataan Anas bin Malik adalah bukanlah menterbalikkan tangan, tetapi belakang tangan terarah ke langit disebabkan mengangkat tangan terlalu tinggi. Cara berdoa seperti inilah disebut oleh Ibn Abbas sebagai Ibtihal.

Wallahualam… Read more...

Saturday, August 22, 2009

Marhaban Ya Ramdhan

Sekali lagi Ramadhan hadir dalam hidup kita. Satu bulan yang dianugerahkan padanya seribu satu kerahmatan, Bulan keampunan daripadaNya, bulan yang digandakan amalan sunat seperti amalan fardhu dan amalan fardhu sehingga 70 kali ganda dan lebih daripada itu. Inilah bulan kesabaran, bulan mujahadah jiwa yang tentunya syurga balasan bagi hamba-hambaNya yang berjaya, bulan yang dibukakan pintu-pintu raudhah syurga seluas-luasnya, ditutup serapat-rapatnya jahannam dan sudah pasti bab al-Rayyan terbuka luas untuk insan yang berpuasa dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Inilah juga bulan yang padanya terdapat satu malam yang dipanggil al-Qadar yang sentiasa diidam-idamkan oleh para solehin yang sangat merindui Allah s.w.t.

Ramadhan datang dengan sinaran seperti sinaran pagi yang menerangi waktu dhuha. Kehadirannya membawa kerahmatan kepada seisi alam. Namun, berapa ramai manusia yang dapat mengecapi kemanisan Ramadhan. Bahkan hanya puluhan daripada berbilion hamba-habaNya yang menyedari dan menyambut kedatangan Ramadhan seperti generasi sahabat dan aulia’Nya. Betapa gembiranya mereka dengan kedatangan Ramadhan seperti menerima sebuah hadiah daripada sang kekasih, menangisi pemergian Ramadhan seperti hadiah daripada sang kekasih diambil kembali. Malam-malam Ramadhan dihiasi dengan ibadah dan munajat rindu kepada Yang Esa, siangnya pula berusaha sebaik mungkin memenuhi tuntutan Ramadhan, lisan yang tidak kering dengan dzikrullah sepanjang hari jauh sekali mencaci hamun, tangan yang semakin laju menghulurkan bantuan seperti lajunya angin taufan walaupun diri sendiri perit, mereka gagah dan bersemangat mengangkat senjata melawan musuh di kala seruan jihad memanggil sehingga melupakan lapar dan panas Ramadhan. Betapa manis dan hebatnya Ramadhan di sisi mereka kerana mereka yakin dengan janji Allah. Lapar dan letih mereka adalah untuk Allah, dan Allahlah yang akan membalasnya, Mereka inginkan dua kegembiraan yang dijanjikan kegembiraan berbuka dan lebih-lebih lagi apabila dijanjikan kegembiraan bertemu Ilahi.

Sedaya upaya, hiasilah ramadhan sebaik mungkin. Penuhi hari-hari mulia ramadhan dengan alunan bacaan al-Quran kerana di bulan inilah al-Quran diturunkan, dan di bulan inilah juga Rasulullah s.a.w. bertadarrus bersama jibril memperelokkan bacaannya. Bangkitkan semula semangat generasi sahabat menyambut kedatangan Ramadhan, semarakkan kembali suasana kegembiraan yang pernah dirasai oleh generasi tabi’in tatkala kehadiran bulan mulia ini. Nikmatilah Ramadhan kali ini, kerana mungkin inilah Ramadhan yang terakhir untuk kita. Read more...

Tuesday, August 18, 2009

Menjejaki Kehidupan Para Salafussoleh

Kebetulan semester ni perbincangan saya di kelas berkisar Karya-karya Utama Dalam Pengajian al-Quran dan al-Hadith, secara tidak langsung memberi titik permulaan kepada saya mengenali sumbangan ulama-ulama silam terhadap dunia islam khususnya dalam pengajian al-Quran dan al-Hadith. Walaupun perbincangan kami lebih memusat kepada metodologi karya-karya ulung dalam bidang ini, namun sepintas lalu kami turut menjejaki kehidupan penulis karya-karya berharga ini. Sungguhpun hanya sepintas lalu, tetapi saya dapat rasakan begitu berharga apabila dapat mengenali manusia-manusia mulia ini.

Tidak tahu bagaimana untuk saya luahkan sumbangan mereka terhadap dunia islam. Semampu mana yang dapat, saya cuba menyelami kehidupan mereka, sungguh, kehidupan mereka tersangat ajaib. Seolah-olah mereka hidup beratus tahun lamanya, sedangkan purata kehidupan mereka sekitar umur Rasulullah s.a.w.. Tidak dapat saya bayangkan, mereka dapat menyiapkan berpuluh-puluh kitab bahkan beratus-ratus kitab yang setiap satu mempunyai belasan jilid dan setiap jilid sudah pasti ratusan halaman. Seperti bumi yang terbentang luas dilipat untuk mereka, seolah-olah waktu terhenti memahami kehendak mereka, dunia seakan tergamam dan tunduk kepada mereka.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah seorang murid kesayangan Ibn Taymiyyah mengarang 66 buah kitab yang kebanyakannya menjadi rujukan cendiakawan kini. Karya-karya beliau seperti al-Ruh karya yang menengahkan konsep ruh, Zad al-Ma’ad sebuah karya yang menghimpunkan ribuan hadith mengenai kehidupan harian muslim, kitab al-Tibyan fi Aqsam al-Quran kitab yang berjaya menonjolkan keunikan ungkapan sumpah dalam al-Quran, dan pelbagai lagi kitab hasil tulisan beliau.

Kecintaan mereka terhadap ilmu pengetahuan sangat luar biasa, Sepertimana Zarkashi sanggup ke kedai buku setiap hari hanya untuk menyalin ilmu di situ, perasaan malu bukan lagi persoalannya, yang penting ilmu yang menjadi tuntutan setiap muslim diperolehi. Sehingga sekarang kitabnya al-Burhan fi Ulum al-Quran menjadi tatapan serta rujukan dalam mencari hikmah kalam Ilahi. Mereka bermusafir beribu batu jauh dari kampong halaman kerana rindu kepada cahaya ilahi. Di mana cahaya itu bersinar, pasti mereka akan sampai ke situ. Imam Fakhruddin al-Razi yang terkenal dengan kitab Tafsir Mafatih al-Ghaib bermusafir mencari ilmu pengetahuan dan setiap pengembaraannya mencari ilmu dirumuskan dalam sebuah kitab yang diberi judul Munzarat Fakhruddin al Razi fi Bilad Ma Wara al-Nahar

Kehidupan manusia-manusia ajaib ini sangat mulia, kehidupan yang sementara dihayati sebaiknya, tidak hanya beruzlah memencil diri menulis dan mengarang, tetapi membahagikan masa bertemu masyarakat, memberi peringatan kepada masyarakat, setiap untaian-untaian kalimah yang keluar daripada mulut mereka memberi manfaat kepada alam, tidak keterlaluan sekiranya saya katakan mereka berjaya mendidik generasi masyarakat di zaman itu mengenal Allah, mengenali hakikat kehidupan, tahu erti syurga serta berusaha mendapatkannya bahkan berusaha menjauhi kepanasan neraka. Sepanjang perbincangan ini, terlalu jauh saya rasakan dengan kehidupan seperti itu, seperti bumi dan langit atau lebih daripada itu lagi.

Sekali lagi terusik hati saya melihat betapa hampirnya mereka dengan Allah. Hubungan mereka dengan Allah seperti sang kekasih yang sangat merindui kekasihnya. Waktu malam sudah pasti hanya untuk Allah. Hati mereka sedikit tidak pernah lalai dari dzikrullah. Lekuk dahi mereka setelah merasa nikmat sujud di hadapan kekasih. Rukuk yang sangat panjang apabila berkomunikasi denganNya. Berlinangan air mata tatkala merintih rindu ingin berjumpa sang Kekasih. Begitu sekali cinta dan rindu mereka terhadap redha Ilahi. Hanya ini yang dapat saya gambarkan kehebatan kasih sayang mereka terhadap Allah. Itulah kemuncak seluruh ilmu mereka. Mereka curahkan segala-galanya di hadapan Allah demi mendapat kekhusyukkan di hadapanNya. Kata-kata yang tidak dapat saya lupakan apabila pujian Ibn Rejab terhadap Ibn Qayyim “ Aku tidak pernah melihat orang yang mempunyai ilmu yang lebih luas daripadanya, dia bukanlah ma’sum, tetapi seolah-olah aku melihat dia seorang yang ma’sum”

Inilah cebisan hidup manusia-manusia agung, Sungguh, merekalah insan yang sangat istimewa. Mereka berusaha mencari maksud taqwa dan iman dalam kehidupan. Hakikat hidup telah mereka temui, mereka berusaha menyebarkannya supaya masyarakat turut merasainya. Mereka berkomunikasi dengan Kalam Ilahi sebaik mungkin, mengaplikasikan firman Allah : “Demi masa, sesungguhnya manusia hidup dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran”

“dan bertaqwalah kamu kepada Allah, Nescaya Allah yang akan mengajar kamu”.

Inilah kemanisan dalam kehidupan beragama seorang muslim. Mudah-mudahan kita seperti mereka, para salafussoleh yang sentiasa mencari makna dalam kehidupan untuk sampai kepada redha Ilahi.
Read more...