BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS �

Tuesday, June 21, 2011

Menderma Ketika Khatib Berkhutbah

Fenomena di Malaysia

Fenomena meluncurkan tabung masjid pada hari Jumaat ketika khatib sedang berkhutbah adalah tidak asing bagi semua Muslimin di Malaysia. Apabila khatib mula melangkah menaiki tangga mimbar, maka aktiviti tolak menolak tabung masjid akan bermula. Kebiasaannya tabung akan digerakkan bermula daripada penjuru tepi di bahagian hadapan sehinggalah habis satu masjid berpusing menagih derma daripada jemaah. Lebih menyedihkan lagi apabila ada di kalangan jemaah kita yang sangat “prihatin” terhadap pergerakan tabung ini.

Lancar ataupun tidak, duit biru atau merah yang dimasukkan ke dalamnya. satu persatu dilihatnya, dan langsung tidak mengindahkan isi kandungan khutbah yang disampaikan.

Menderma ketika Khatib

Menderma adalah sesuatu perbuatan yang baik, bahkan digalakkan dalam Islam. Sekalipun seorang Muslim menderma dengan kuantiti yang sedikit, namun ia tetap dikira sebagai amalan soleh yang akan membantunya di akhirat kelak. Namun begitu, tidak semua situasi amalan ini digalakkan. Contoh yang paling dekat adalah ketika khatib membaca khutbah pada hari Jumaat. Amalan ini tidak digalakkan, bahkan dibimbangi termasuk dalam perbuatan yang sia-sia . Benar, secara umumnya menderma adalah baik, namun situasi ketika itu tidak sesuai. Ini kerana, di sana terdapat nas yang melarang daripada melakukan sesuatu yang boleh mengganggu konsentrasi daripada mendengar isi kandungan khutbah.

Baginda s.a.w. mengingatkan:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “…Siapa yang menyentuh (bermain-main) batu, maka dia telah melakukan sesuatu yang sia-sia.” (Riwayat Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, Tirmidhi, dll)

Hadith di atas menunjukkan bahawa melakukan sesuatu yang sia-sia seperti bermain batu adalah perkara yang ditegah ketika mendengar khutbah. Namun begitu, ada yang mempersoalkan bahawa itu sekiranya melakukan sesuatu yang tidak berfaedah seperti bermain batu. Namun, menderma adalah sesuatu kebajikan, bahkan digalakkan dalam Islam dan mempunyai manfaatnya kepada umat. Sudah pasti ia dibenarkan. Meneliti kembali kepada nas yang lain, masih terdapat larangan lain daripada Rasulullah s.a.w. melakukan perkara yang bersifat kebajikan iaitu antaranya adalah menegur sesama Muslim. Sebagaimana Baginda s.a.w. mengingatkan kepada umatnya:


إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ . وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu berkata kepada sahabat mu pada hari Jumaat, Senyap. Sedangkan ketika itu Imam sedang membaca khutbah, maka sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang sia-sia.” (Riwayat al-Bukhari)

Secara umumnya, menegur saudara sendiri apabila mereka melakukan kesilapan adalah sesuatu yang sangat dituntut. Namun amalan ini tidak sepatutnya diamalkan ketika Khatib membaca khutbah. Bahkan dimasukkan oleh Baginda s.a.w. sebagai mereka yang lagha (melakukan sesuatu yang sia-sia).

Mencari Inisiatif lain

Para Imam dan AJK-AJK masjid perlu mengambil berat akan amalan ini. Di bimbangi tradisi ini termasuk dalam kategori perbuatan yang lagha (melakukan sesuatu yang sia-sia) sebagaimana hadith-hadith di atas. Baik jemaah yang menolak tabung ataupun mereka yang menderma. Tidak salah menyediakan tabung, namun biarlah bersesuaian dengan situasi dan keadaan. Letaklah di pintu-pintu masjid sahaja atau bagaimana sekalipun, dengan syarat tidak mengganggu konsentrasi jemaah ketika khatib membaca khutbah.

Wallahu’alam. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus tetap di atas jalanNya. Wallahul Musta’an.
Read more...

Tuesday, June 14, 2011

Ilmu didatangi bukan mendatangi

Pernah satu ketika seorang Imam diminta oleh pembesar di zamannya untuk mengajar anaknya di rumah. Pelawaan pembesar itu ditolak oleh Imam itu sambil mengatakan:

“Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi”.

Perkataan ringkas daripada seorang Imam ini mengajar kita bahawa ilmu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh, akan tetapi memerlukan kesungguhan serta kesabaran untuk memilikinya. Perhatikan perkataan seorang Tabi’in iaitu Yahya bin Abu Kathir dari ayahnya:

لاَ يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الْجِسْمِ

“Ilmu pengetahuan tidak akan dapat diperoleh hanya dengan berehat-rehat.” (Riwayat Muslim)


Kesungguhan dan kesabaran merupakan kunci yang perlu ada bagi setiap penuntut ilmu untuk membuka khazanah yang berharga ini. Belum pernah kita temukan cerita yang sahih mengenai ulama atau mana-mana cendiakawan yang duduk bersahaja lalu ilmu datang menemuinya. Bahkan Ibn ‘Abbas r.a., seorang sahabat yang didoakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan kefahaman dalam agama masih lagi bersusah payah mencari dan bertemu dengan sahabat-sahabat lain untuk memperoleh ilmu pengetahuan.

Wahai semua penuntut ilmu, berusahalah bersungguh-sungguh mencari ilmu pengetahuan. Sabarlah dalam mengejarnya. Setiap titis-titis keringatmu yang jatuh di jalanNya, pasti akan dibayar. Ingatlah, sesungguhnya ilmu ini bukanlah untuk siapa-siapa, tetapi ia untuk kegunaan diri sendiri. Kita inginkan setiap pergerakan dalam kehidupan di dunia ini sesuai dengan kehendak Allah dan RasulNya. Kita tidak mahu terpesong daripada kebenaran ketika mengharungi samudera hidup ini disebabkan kemalasan kita mencari apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. daripada kita. Apa yang kita harapkan ilmu yang dikejar ini mampu memberikan sinar kebahagiaan berada di bawah payungan keredaanNya. Semakin bertambah ilmu di dada, semakin giat mengejar cintaNya, dan semakin gerun melakukan tegahanNya. Benarlah kata-kata Allah s.w.t.:

“Hanyasanya mereka yang takutkan Allah s.w.t. di kalangan hamba-hambaNya adalah golongan Ulama” (Faatir: 28)
Read more...

Thursday, December 9, 2010

Ucapan TAHNIAH kepada pasangan pengantin, Buktikan CINTA kepada RASULULLAH SAW

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِىَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا رَفَّأَ الإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِى خَيْرٍ

Dari Abu Hurayrah r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila memberi ucapan tahniah kepada manusia yang berkahwin:

“Semoga ALLAH memberi keberkatan kepadamu (ketika dirimu bahagia dan harmoni), dan semoga ALLAH (tetap) memberi keberkatan ke atasmu (ketika keadaanmu bergolak), dan Semoga ALLAH mengumpulkan antara kamu berdua dalam kebaikan.”

(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Hakim, al-Bayhaqi, disahihkan oleh al-Hakim, dan disepakati oleh al-Dhahabi, Ahmad Syakir mengatakan sanadnya kuat, perawinya dikalangan perawi al-Sahih.)


Faedah daripada Hadith:

1) SUNNAH Baginda Muhammad s.a.w. apabila mengucap tahniah kepada pasangan yang berkahwin : “BARAKALLAHU LAK WA BARAKA ’ALAYKA WA JAMA’A BAYNAKUMA FIL KHER.”. Hidupkanlah kembali SUNNAH mulia ini.


2) Ingatlah!!, Jangan sekadar mengungkapkannya kerana mengikuti sebuah lagu yang popular sekarang. (Maher Zain-Baarakallah). Tetapi ucaplah dengan baik dan penuh kemuliaan tanda CINTA kepada RASULULLAH saw dan SUNNAHNYA.


3) Hadith ini juga mengajar kita bahawa SEBAIK-BAIK UCAPAN tahniah adalah sebuah untaian “DOA”


4) Mengingatkan kita bagaimana hubungan sesama Muslim. Saling mendoakan kesejahteraan dan kebaikan sesama mereka. Rasulullah saw menjanjikan buat mereka yang mendoakan kebaikan kepada saudaranya tanpa pengetahuannya, bahawa kebaikan tersebut akan kembali kepadanya.


5) KEBERKATAN adalah kebaikan daripada ALLAH. Mintalah hanya kepada ALLAH Jalla wa ’Ala, kerana hanya ALLAH yang boleh memberi kebaikan kepada hamba-hambaNYA.


6) Hadith ini juga mengajar bahawa hubungan suami isteri ada pasang surutnya, Namun, kebaikan yang kita harapkan daripada ALLAH, bagaimana sekalipun keadaannya.

Wallahu’alam bi al-Sawab. Moga ALLAH memberi tawfiqNYA kepada kita semua.
Read more...

Wednesday, December 1, 2010

Rasulullah mengajar erti CINTA sesama makhluk

أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ مَرَّ رَجُلٌ فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّ هَذَا الرَّجُلَ قَالَ هَلْ أَعْلَمْتَهُ ذَلِكَ قَالَ لَا فَقَالَ قُمْ فَأَعْلِمْهُ قَالَ فَقَامَ إِلَيْهِ فَقَالَ يَا هَذَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ فِي اللَّهِ قَالَ أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ



Anas bin Malik r.a. berkata: Sedang aku duduk bersama Baginda s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki melintas. Lalu salah seorang daripada sahabat berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku benar-benar mencintainya.” Lalu Baginda s.a.w. bersabda: “Adakah engkau telah sampaikan perasaan itu kepadanya?” lalu beliau menjawab: “belum”. Lantas Baginda s.a.w. bersabda: “Bangunlah, sampaikanlah kepadanya”. lantas sahabat tersebut bangun dan bertemu dengannya seraya berkata: “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.” lalu ia menjawab: “Semoga Allah mencintaimu, kerana engkau mencintaiku keranaNYA.”

(Diriwayat oleh Imam Ahmad no. Hadith: 12430, Syuayb al-Arnauth mensahihkan sanad ini, diriwayatkan juga oleh al-Nasa’ie, Ibn Hibban dari jalur ‘Ali bin al-Hussin)

Faedah daripada Hadith:

i) RASULULLAH SAW mengajar sahabatnya erti percintaan sebenar sesama makhluk. Percintaan haruslah di atas dasar “kerana ALLAH”.

ii) Apabila timbul perasaan tersebut, bangunlah dan sampaikan kepada saudaramu:“UHIBBUKA FILLAH” (aku mencintaimu kerana ALLAH), lalu jawablah: “AHABBAKA ALLADHI AHBABTANI LAHU” (semoga ALLAH akan mencintaimu, kerana perasaan cintamu kepadaku kerana DIA). ucapan-ucapan ini begitu indah apabila DIHAYATI.

iii) Kalimah “FILLAH” (kerana ALLAH) seringkali digunakan bagi mengaburi CINTA TERLARANG. Begitu mudah mereka menuturkan kerana ALLAH, tetapi sebenarnya kerana hawa nafsu dan syaitan.

iv) Ingatlah saudaraku, mencintai seseorang kerana ALLAH, hakikatnya mereka sangat MENCINTAI ALLAH.

v) ALLAH telah menjanjikan KEMANISAN IMAN apabila memperolehi cinta keranaNYA, mendapat NAUNGAN ARASYNYA di akhirat, serta bersama-sama dengan orang yang dicintai menikmati KEINDAHAN SYURGANYA kelak.

Wallahu al-Musta’an.
moga ALLAH memberi tawfiq dan pertolonganNYA agar kita BENAR-BENAR JUJUR mencintai sesiapa sahaja keranaNYA.
Read more...

Wednesday, September 22, 2010

SEMINAR KEMELUT PERADABAN REMAJA MASA KINI: PERSPEKTIF AL-QURAN & AL-HADITH

TARIKH : 28 & 29 SEPTEMBER 2010
HARI : SELASA & RABU
TEMPAT : AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA

PEMBENTANG UTAMA:
1) Hj Ahmad Ayob Hj Ibrahim
2) Prof. Dato' Dr. Mohd Yakub@Zulkifli
3) Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman
4) Prof. Dr. Saedah Siraj
5) Prof. Dr. Zulkepli Abd Ghani
6) Prof. Madya Dr. Harlina Siraj
7) Prof. Madya Dr. Mastura Badzis
8) Datuk Seri Azman Ujang
9) Dr. Ridhuan Tee Abdullah
10) Mohd Yunus Pathi Mohammad

PERASMIAN DAN UCAPTAMA:
YB Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

PEYERTAAN ADALAH PERCUMA
JANGAN LEPASKAN PELUANG INI!!!!


KETERANGAN LANJUT KLIK DI SINI

Read more...

Sunday, July 18, 2010

Rintihan Insan Berdosa, pasti diterima ALLAH


Sayyidul istighfar (Penghulu Istighfar) yang diajar oleh Baginda s.a.w. kepada umatnya:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ


"Ya Allah, Engkau adalah Rabbku. Tiada tuhan selainMu. Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hambaMu dan aku selalu berusaha menepati ikrar dan janjiku kepadaMu semampu daya yang aku miliki.
Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku. Aku mengakui betapa besar nikmat-nikmatMu yang tercurah kepadaku; dan aku tahu dan sadar betapa banyak dosa yang telah aku lakukan. Karenanya, ampunilah aku. Tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau"


Sesiapa yang membacanya pada waktu pagi dengan penuh keyakinan dan kesungguhan kemudian dia mati sebelum waktu petang, sesungguhnya dia termasuk di kalangan penghuni syurga, sesiapa yang membacanya pada waktu malamnya dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh, kemudian dia mati sebelum waktu pagi, sesungguhnya dia termasuk di kalangan penghuni syurga. (Riwayat Bukhari)

Note:
Lafaz istighfar ini cukup masyhur di kalangan kita, bahkan ramai di kalangan kita yang sudah menghafalnya. CUMA apa yang penting di sini adalah ISTIQAMAH melaksananya setiap hari pagi & petang serta PENGHAYATAN terhadap bait-bait yang dituturkan.

Sudah pasti istighfar ini memberi kesan kepada JIWA 'UBUDIYYAH seorang muslim sekaligus melayakkannya menjadi penghuni SYURGA.


WA ALLAH AL-MUSTA'AN.
Read more...

Friday, July 9, 2010

Wasiat Rasulullah saw kepada Mu'az bin Jabal


Suatu hari Baginda s.a.w. memegang tangan Mu'az bin Jabal, seraya berkata:
"Wahai Mu'az, Demi ALLAH, aku mencintaimu", lalu jawab Mu'az: "Demi ayahku dan ibuku, Demi ALLAH, aku juga mencintaimu wahai Rasulullah" Lalu Rasulullah bersabda: "aku wasiatkan kepadamu wahai Mu'az supaya jangan meninggalkan doa ini setiap kali selepas solat:

اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ


"Wahai ALLAH, bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, sentiasa bersyukur kepada-Mu, dan sentiasa memperbaiki ibadahku kepada-Mu."
(Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasa'ie, Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban dan al-Hakim & disahihkan oleh al-Albani)


Beberapa Faedah daripada Hadith:


1) Galakan daripada Rasulullah saw kepada sahabat dan umatnya supaya sentiasa berusaha untuk mengingati ALLAH dalam semua keadaan, bersyukur kepadaNya, serta sentiasa memperbaiki ibadah mereka kepada ALLAH swt.

2) Doa ini mampu membawa manusia mengenali diri bahawa mereka hanyalah seorang 'HAMBA' dan sangat berhajat dengan BANTUAN serta PERTOLONGAN daripada ALLAH swt.

3) Metod dakwah Baginda saw ketika memberi nasihat kepada sahabat-sahabatnya adalah dengan menyentuh tubuh mereka. Ternyata cara sebegini dapat mengambil perhatian & mempengaruhi si pendengar.

4) Berkasih sayang KERANA ALLAH (Fillah) adalah salah satu sifat MU'MIN. Perasaan tersebut tidak sekadar diluahkan tetapi dibuktikan dengan tindakan antaranya sebutir nasihat. Matlamat CINTA cukup jelas iaitu ingin bersama-sama mengecapi KEMANISAN menjadi HAMBA kepadaNYA.

MOGA ALLAH MEMBERI TAWFIQ & PERTOLONGANNYA.
WALLAHU'ALAM.
Read more...