BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 10, 2009

Imam Abu Hajjaj al-Mizzi rah.

Abu Hajjaj al-Mizzi

Nama penuh beliau Abu al-Hajjaj Yusof ibn al-Zaki ‘Abd. Rahman b. Yusuf bin ‘Abd Malik al-Quda’i al-Kalbi al-Dimasshqi. Walaupun begitu beliau lebih dikenali dengan gelaran al-Mizzi. Gelaran ini disandarkan kepada kampung halamannya yang bernama al-Mizzah iaitu sebuah perkampungan besar yang terletak di tengah-tengah Taman Damsyiq. Beliau telah dilahirkan di luar bandar Halab pada tanggal malam 10 Rabi’ al-akhir pada tahun 654 hijrah .


Pendidikan

Menjadi tradisi ilmuan silam memulakan pendidikan mereka dengan menghafaz al-Quran, dan tradisi mulia ini turut disambung oleh Abu Hajjaj al-Mizzi. Beliau memulakan menghafaz dan mendalami ilmu al-Quran sejak kecil lagi , selain itu turut mempelajari ilmu bahasa dan tasrif.

Pengajian hadith bermula ketika beliau berusia 21 tahun, walaupun agak lewat, namun kesungguhannya menggali mutiara ilmu, menjadikannya seorang yang sangat pakar terutamanya dalam bidang ini. Permulaan pengajiannya adalah daripada kitab al-Hilyah oleh salah seorang gurunya iaitu Ahmad ibn Abu al-Khair salamah b. Ibrahim al-Dimashqi (m 678 H) pada tahun 675 H. Disamping itu, beliau turut belajar musnad Ahmad, kutub al-Sittah, mu’jam al-Tabarani, al-Ajza’, al-Tabarzadiah dan al-Kindiah. Mempelajari juga sahih muslim daripada al-Aqasim b. Abu Bakar b. Ghanimah al-Irbili.

Kembara ilmiah

Kecintaan yang begitu mendalam terrhadap ilmu pengetahuan mendesak beliau untuk mengembara ke seluruh pelusuk negeri. Antara negara-negara yang telah dijejaki dalam pencarian ilmu pengetahuan adalah Mesir, Iskandariah, Halab, Hamah, Hims, Ba’labak, Nablus dan banyak lagi.

Pengembaraannya diteruskan sehinggalah sampai ke Mekah dan Madinah. Sepanjang berada di Mekah dan Madinah, beliau telah menemui beberapa orang guru yang mashyur seperti al-‘Izz ‘Abd. ‘Aziz al-Harawi, Abu Bakar al-Anmati, dan Ghazi al-Halawi. Pertemuan dengan manusia hebat ini digunakan sebaiknya untuk mendalami ilmu pengetahuan.

Guru-gurunya

Pengembaraan ilmiah dimanfaatkan sebaiknya, pertemuan beliau dengan guru-gurunya dicatatkan seperti berikut :

1) Ahmad b. Abu al-Khair Salamh b. Ibrahim al-Dimashqi
2) Al-Aqasim b. Abu Bakar b. Ghanimah al-Irbili
4) Ibn Syaiban
6) Al-Syeikh Syams al-Din Ibn Abu Umar
7) Fakhr al-Din al-Bukhari
8) Ibn ‘Allan
9) Abu Bakr al-Anmati


Murid-murid


Abu Hajjaj al-Mizzi telah menjadi tumpuan masyarakat ketika itu, terutamanya mereka yang ingin mendalami disiplin ilmu hadith. Beliau telah melahirkan ramai murid-murid yang sangat berpengaruh, dan kebanyakannya terdiri daripada teman-temannya sendiri. Antaranya adalah :

1) Ibn Taymiyyah al-Harrani (728H)
2) Syamsuddin al-Dhahabi (748 H)
3) Taqi al-Din al-Subki (756 H)
4) ‘Alam al-Din al-Birzali (739 H)
6) Imad al-Din Ibn Kathir (774 H)
7) al-Dimasyqi
8) Sayyid al-Nas al-Ya’mari (m. 734 H)

Pandangan Ulama terhadap beliau

Imam al-Dimasyqi menukilkan pujian salah seorang murid Abu Hajjaj al-Mizzi iaitu ‘Alam al-Din :
“Beliau seorang yang sangat kuat membaca, seorang yang terkenal dengan ilmu bahasa. Baik hati, lemah lembut dan tawadhu’. Beliau adalah seorang Imam hadith, alim terhadap nama-nama rijal dan nasabnya, sangat mengetahui sejarah dan masyarakat sentiasa menjadikannya sebagai rujukan.”

Al-Dhahabi pula memuji Abu Hajjaj dengan kata-katanya :

“Beliau adalah seorang yang terpercaya, seorang yang tinggi ilmunya, baik akhlaknya, pendiam, lemah lembut, sangat merendah diri, banyak menghabiskan masa dengan masyarakat..”

Salah seorang muridnya iaitu Imam Fath al-Din Abu al-Fath bin Sayyid al-Nas al-Ya’mari memuji Al-Mizzi :
“ Aku telah menemui seorang yang sangat pakar dalam ilmu ini (hadith) di Damsyiq. Beliau adalah Imam al-Mizzi. Luas ilmu pengetahuannya sehinggakan beliau mengetahui setiap perawi baik di kalangan arab ataupun bukan, orang mesir ataupun luar, sangat berpegang dengan peninggalan para salaf al-soleh, bersungguh-sungguh mempertahankan kemurnian sunnah..”


Kematian Abu Hajjaj al-Mizzi

Al-Hafiz Abu Hajjaj al-Mizzi dipanggil ilahi pada hari sabtu 12 safar 742 H ketika usianya menjangkau 88 tahun. Imam Ibn Kathir menceritakan saat-saat kematian seorang Imam ulung ini dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah :
”Beberapa hari sebelum bapa mertuanya Abu Hajjaj al-Mizzi pergi dijemput ilahi, beliau masih lagi aktif bertemu masyarakat dan memperdengarkan hadith. Sehinggalah pada hari jumaat, 11 safar setelah memperdengarkan hadith kepada masyarakat, beliau masuk kerumahnya untuk berwudhuk bagi menunaikan solat jumaat. Namun ketika itu perutnya mengalami kesakitan yang teramat sangat dan kami menyangka kesakitan itu kerana taun. Keadaan yang sangat lemah itu menyebabkan beliau tidak mampu untuk hadir menunaikan solat jumaat pada hari itu. Setelah selesai daripada solat aku (Ibn Kathir) pergi menemuinya dari bertanya akan keadaannya, lalu beliau mengulangi ucapan tahmid berulang kali. Kemudian beliau memberitahu akan keadaannya yang uzur.

Kesakitannya berlarutan sehinggalah waktu zuhur keesokannya (sabtu). Dalam keadaan tenat itu, beliau gagahkan diri bertayammum dan terus menunaikan solat zuhur dalam keadaan mengiring. Dalam solatnya beliau membaca ayat kursi belum sempat menghabiskan ayat tersebut ruhnya diambil oleh Allah.

Keesokannya (ahad) barulah jasadnya disembahyangkan di masjid al-Umawyy, Saat kematian ulama agung ini menyaksikan kehadiran para Qudhat, pembesar-pembesar negara, dan seluruh masyarakat. Jenazahnya telah disembahyang dan diimami oleh muridnya iaitu Taqi al-Din al-Subki, kemudian jasadnya dikebumikan di perkuburan al-Sufiah, bersebelahan dengan kubur isterinya dan berhampiran dengan kubur Imam Ibn Taymiyyah.

0 comments: